 |
 |
 |
Jul 27, 2004
buku-buku
Ada banyak buku…. Buku disana-sini…. Banyak yang sudah disampul….Ada yang belum.Banyak yang sudah dibaca..tapi banyak juga yang belum.Tempat buku..belum cukup. Rak yang tersedia tak memadai.Masih banyak lagi yang berada di dalam kotak. Cita-citanya ….ingin mempunyai sebuah library di rumah sendiri..Sekarang projek terbarunya:bookmark.
Semalam dia pulang dengan mesin laminator.Dikerahnya aku dan anak-anak mencari gambar-gambar lama yang agak tak menjadi…….Hari ini beberapa keping bookmark sudah siap..Wow ! cukup kreatif…
Nak tahu kenapa dia begitu beria-ia dengan projek terbarunya ini?. Rupa-rupanya dia ni cinta sangat kat buku. Bila tengok buku dikedai, macam orang yang sedang perut keroncong jumpa kedai makan..Lapar..Tak boleh lalu ada saja buku yang dibeli.Bila tengok buku-buku yang belum dibaca..tension…bila ni nak baca….Belum lagi tengok orang baca buku lipat sana ,lipat sini, mendidih…..sayang sangat kat buku..Bila sampul buku ada teknik tersendiri.. Bila aku menolong, macam ada saja yang tak betul…..Jadi bab-bab menyampul buku buku ni aku serah bulat-bulat kat dia. Memang ada macam satu kepuasan kalau dia sudah siap menyampul buku. Tak kira buku sekolah anak-anak ke .buku cerita ke.buku agama ke atau buku yang paling digemarinya: tentang kewangan ataupun bibliografi.
Anak sulungku….pun ulat buku. Tapi sayang….tak rajin jaga buku macam ayahnya…Aku….tak ulat buku dan tak rajin jaga buku………….Bila ingatkan tentang ini.. rasa terharu terhadap buku-buku yang semakin lama semakin terpinggir, dalam dunia media eletronik yang semakin canggih sekarang……...
Posted at 07:26 pm by DrPutra
Jul 14, 2004
maid oohh maid..
Hari ini ,semenjak berpindah kerumah baru, Y start kerja pada pukul 2.00 ptg.Jadi pagi-pagi dapatlah menghantar anak ke sekolah di pintu hadapan rumah.Semenjak mereka menaiki basikal kesekolah ni ,mudah sedikit waktu nak uruskan yang lain-lain tu.Ada masa nak mandikan anak-anak yang masih kecil lagi, ada waktu nak menyiram bunga yang mak dan abah hadiahkan sempena perpindahan ini. Maklumlah dulu duduk rumah kedai, mana ada pokok walaupun sebatang. Ada juga masa nak awas kerja-kerja yang dilakukan oleh maid ………
Bercakap pasal maid ni…..macam-macam yang sudah di rasa. Rasa-rasanya setakat ni dah masuk 8 orang yang bermacam-macam gaya dan perangai. Ada yang sempat bekerja cuma sehari….yang paling lama 4 tahun. Ada yang rupa-rupanya pesakit mental, paling terperanjat dia berkemungkinan disyaki terlibat dalam jenayah di seberang …. Takuuut..alhamdulillah tak terjadi apa-apa terhadap anakku.. Ada satu lagi ini bekas pelacur paksa i.e ditipu ketika masuk ke Malaysia. ..sempat bekerja selama 3 hari sahaja kerana risaukan keselamatan anak-anak kerana dia ni melarikan diri dari bapa ayamnya… Yang panjang tangan ada. Yang banyak cakap ada. Yang asyik menangis pun ada kerana ingatkan kampong , sampai tak buat kerja…sehinggakan kita yang susah hati takut sakit kerana tak makan…!Tapi ada juga yang amat baik hati. Tidak banyak cakap,asyik buat kerja ,tidak pernah sekalipun duduk di sofa dan tidak makan dimeja hanya dibawah walaupun sudah dipelawa beberapa kali sehingga amat kasihan melihatnya….Dia ni sentiasa menghantar kemuka pintu ketika ingin pergi bekerja di hospital ketika itu…Sayang tidak mahu mengikut kami sekeluarga yang terpaksa berpindah tempat kerja…
Maid yang ada sekarang sudah masuk 4 tahun…kadang-kadang mula tunjuk anginnya…, Ada maid susah..tak ada lagi susah.. Sekejap nak berhenti sekejap nak sambung..Macam-macam . Buat masa sekarang sedang elok anginnya …Harap-harap jangan ada ribut
taufan yang datang melanda….
Posted at 06:48 pm by DrPutra
Jul 4, 2004
keluhan
“Doktor, saya demam,sudah tiga hari.Sebenarnya dah lama saya tak demam, tapi agaknya sebab umur pun dah tua.” Belum sempat ku mencelah pakcik itupun menyambung lagi, kali ini berlainan pula nadanya.”Sungguh pun saya begini, hati saya puas doktor, maklumlah semalam kes saya selesai,buang kes ,tak ada bukti”…Eh ! pakcik ni cerita mengenai apa ni? “Errr…..kes apa ni Pakcik? Oh…isteri saya tu, adake dia curang terhadap saya. Doktor cuba fikir saya dah umur 60 lebih .Dia dah 50 lebih.Dah putus haid pun…..! Saya jumpa dia curang dengan lelaki muda sikit je dari dia…..saya tempeleng dia. Padahal saya dah berumahtangga dengannya 34 tahun.Sanggup dia buat macam ni dengan saya ..padahal dah bercucu……Dahlah tu dia repot polis,kata saya dera dia…. Tapi tak ada bukti. Dia minta cerai di pejabat kadhi….. Apa lagi saya bagi le apa yang dia nak. Kalau tak dayus saya……..Bila kaunselor kata dia tak layak terhadap harta saya kerana dia yang minta cerai…baru menangis tak berlagu…..
Itulah antara keluhan yang agak banyak ku dengar dari pesakitku. Kadang-kadang tiada apa yang sakit..Cuma datang untuk meluahkan apa yang terbuku dihati.Datang untuk menjadi tempat mengadu.Datang untuk melahirkan perasaan tidak puas hati..Dan kadang-kadang datang tapi tanpa bicara………… Kisah-kisah benar seumpama ini yang ada kalanya tidak masuk akal membuatkan aku rasa bertuah hidup di samping suami tercinta…
-Y-
Posted at 10:58 pm by DrPutra
Jul 1, 2004
Rak Kasut Special Made By Tok Ki
Bertahun-tahun lamanya aku sudah menyewa rumah – tidak kira flat, rumah teres, banglo ataupun rumah kedai. Pengalaman menyewa semuanya sama dan aku terbiasa hidup ala kadar dan seadanya. Asalkan selesa cukuplah. Mungkin aku bukan perfectionist.Bila berpindah rumah sendiri (teres sahaja), segalanya berubah…. Aspek penataan termasuklah kabinet, alatan bilik sendiri dan bilik anak-anak, segala macam perhiasan dan tidak ketinggalan sebuah rak kasut yang mempunyai ruang yang cukup menjadi cukup penting.
Puas sudah aku pergi ke kedai perabut dan supermarket mencari rak kasut yang sesuai. Ada lebih 30 pasang kasut yang hendah diisi termasuk kasut-kasut sekolah. Maklumlah ada enam anak. Satu hari aku & Y pergi ke kedai hardware mencari sedikit barangan pertukangan. Tiba-tiba kami terpandang rak-rak besi di dalam kedai. Agaknya Y pun terfikir perkara yang sama. Kami berdua berpandangan dan sambil mengangguk kepala aku terus bertanya kepada tuan kedai, “ Tokeh, ini kalau bikin rak kasut okey tak?” Tuan kedai sambil tersenyum menjawab, “Banyak orang bikin……” Rasa lega sebab satu masalah besar mungkin akan selesai tidak lama lagi.
Selang beberapa hari Y dan kedua orang tua pergi ke kedai hardware tersebut mencari kepingan besi dan skru serta plywood untuk dibuat rak. Aku tidak dapat bersama ketika itu kerana bekerja. Setelah semua barangan dihantar ke rumah, bapa mertuaku tanpa membuang masa mula memasang kepingan besi dan skru sambil diperhatikan dengan penuh minat oleh anak-anakku. Dengan gaya santai memakai t-shirt Pagoda dan berseluar jeans beliau begitu tekun bekerja. Sekerat jalan memasang besi beliau terhenti… “Abah rasa skru macam tak cukup ni, plywood pun tebal sangat macam plywood dinding” Aku kebetulan di situ terus menjawab, “ Tak apalah abah, nanti saya cari di kedai”. Beliau terdiam dan aku tidak tahu sama ada untuk terus berkata-kata ataupun mendiamkan diri. Tiada apa-apa yang kami bualkan beberapa minit selanjutnya. “Tak apalah nanti abah uruskan, besok abah nak berniaga…. Kalau sempat lusa abah datang balik nak teruskan buat rak ni”
Selepas dua hari ibu dan bapa mertuaku datang ke rumah. Kali ini mereka membawa sekeping plywood nipis. Menurut mereka plywood nipis lebih mudah dipasang pada rak tersebut. Dari pagi bapa bertuaku begitu tekun menggergaji dan memasang kembali rak kasut tersebut. Sekali-sekala beliau sempat bergurau dengan anak-anakku yang datang mengulit untuk bermanja. Tidak nampak sebarang tanda kepenatan pada raut wajah beliau. Paling-palingpun berhenti sebentar mencari air untuk diminum. Hampir waktu Asar barulah rak kasut tersebut selesai. Mungkin jarang kita nampak rak kasut berukuran 5’ x 2’ x 11”. Mungkin inilah rak kasut yang mampu mengisi lebih 30 pasang kasut di rumahku.
Aku sedikit menyibuk bertanya, “Abah kalau di kedai berapa harga rak ni? Y yang turut berada di situ mencelah, “Mahal ni bang, ada professional service sebab datang pasang kat rumah”. Beliau hanya tersenyum mendengar celotehan kami berdua. “Kalau mana-mana yang kurang tambahkan ya... rasanya dah tak ada apa-apa lagi…..” ,beliau menambah. Pada pandangan mataku sudah tiada apa-apa kecacatan pada rak kasut tersebut. Buatannya begitu teliti hasil tangan orang yang cukup berpengalaman. Mungkin kalau aku yang membuat rak tersebut, tentu banyak perkara yang perlu diperbaiki.
Rak kasut itu aku akan letakkan di depan rumah. Sesiapa yang datang ke rumah pasti akan dapat melihat rak kasut setinggi 5 kaki itu. Kasut anak-anakku di bahagian bawah dan kasut aku & Y di bahagian atas. Anakku bertanya, “Ayah ni rak kasut apa ni, macam kat kedai je!”. Aku spontan menambah,”Ini special, ni rak kasut special made by Tok Ki”. Tersengih-sengih mereka mendengar jawapanku.
Rak kasut hanyalah sebuah rak kasut. Rak kasut yang dibuat oleh seorang datuk untuk cucu-cucunya yang tersayang adalah satu nostalgia yang tidak ternilai. Mungkin 2 hari untuk menyiapkan rak kasut tersebut boleh diisi dengan perkara-perkara lain yang lebih penting. Tetapi dua hari itu adalah adalah hadiah darinya untuk kami semua. Rak tersebut akan kami pakai selagi masih boleh digunakan. Inilah tanda terima kasih yang tidak ternilai dari kami semua untuknya. Bila ada orang bertanya tentang rak kasut itu, anak-anakku akan menjawab “Ni lah rak kasut special made by Tok Ki”……………………
---KN--
Posted at 10:11 pm by DrPutra
rumahku syurgaku
Sebenar-benarnya belum terkubur lagi..Sejak sibuk dengan mencari rezeki secara sendiri ini masa tu memang begitu berharga sekali. Tak ada cuti. Kalau bercuti terpaksa membayar pengganti.Kalau tutup tak ada yang masuk. Kalau berganti selalu pun pelanggan lari. Maklumlah kerja 7 hari seminggu dari 8 am hingga 10 pm bergilir-gilir dengan hubby termasuk menjadi surirumah separuh masa, dan ibu kepada 6 orang anak. Lebih-lebih lagi dalam 2-3 minggu kebelakangan ini berpindah ke rumah sendiri setelah bertahun-tahun menyewa.
Seronoknya dalam suasana kelam-kabut ni (kak ngah pernah kata dulu Y ni memang sentiasa kelam-kabut) di rumah baru puteri tunggalku berkata dalam nada pelatnya.’Mak! Mak! Bila nak balik ni? Laaaaa…….rupanya dia ingatkan kami sekeluarga ke rumah siapa agaknya………… Dah 12 tahun Y berumahtangga. Barulah ni lah merasa duduk rumah sendiri. Macam mimpi rasanya….. Dulu-dulu sewa rumah tak terfikir nak hias cantik-cantik. Maklumlah masa tu bukan rumah sendiri…. Sekarang, punyalah best tak terkata. Betullah orang kata, rumahku syurgaku. Syurga bagi Y yang selama ini menunggu-nunggu nak duduk rumah sendiri. Syurga bagi Y melihat anak-anak bermain riang di halaman rumah yang tak seberapa tu. Juga syurga bagi Y melihat hubby tersenyum puas menajak rumput nak mencantikkan rumah kami……
Posted at 05:04 pm by DrPutra
Jun 5, 2004
lega...
Perlahan-lahan aku selukkan kedua belah kakiku ke gigi air…. Wah, pedih bukan kepalang! Sakit tak terhingga hingga ke tulang. Kugenggam jari-jemariku dan gigi-gigiku kuketip menahan kesakitan. Selang beberapa minit setelah hilang sakit kedua-dua kakiku baru aku memberanikan diri masuk ke dalam permukaan air. Cuba-cuba berenang….. Agak pelik, mengapa aku dapat berenang dengan begitu senang sekali? Begitu enteng! Aku tak pandai berenang….
Ini bukan mimpi….. Sebenarnya itulah secebis pengalamanku berenang di Laut Mati di Jordan. Kira-kira 13 tahun lepas aku sempat berkunjung ke Jordan, menghabiskan cuti summer di sana. Jordan adalah bumi gersang yang penuh dengan tinggalan sejarah. Laut Mati yang kukunjungi begitu mengkagumkan. Dengarnya itulah bumi kaum Nabi Lut yang telah diterbalikkan malaikat atas perintah Allah kerana keingkaran mereka. Kegiatan homoseksual amat berleluasa di kalangan mereka.
Laut Mati yang menjadi saksi kemurkaan Allah khabarnya sehingga kini tiada ikan atau hidupan dapat hidup di dalamnya. Amat masin sekali hingga pada deria lidahku kemasinan Laut Mati hampir-hampir menjadi pahit yang amat sangat.
Aku mandi dengan begitu seronok sekali. Duduk, meniarap, baring dan cuba-cuba berdiri tapi tapi tak berjaya pada permukaan air. Sekali-sekala air masuk ke mata terasa amat pedih sekali……
Bumi Allah yang begitu indah dan suasana Laut Mati amat mengasyikkan. Walaupun untuk ke sana dari Amman agak sedikit sukar. Maklumlah selepas Perang Teluk pada ketika itu. Berbelas-belas roadblocks terpaksa kami tempuhi. Suasana Lembah Jordan yang penuh kehijauan meredupkan mata selepas melepasi padang pasir di sekitar Amman. Agak penat…… tetapi ingatan untuk sampai ke Laut Mati melebihi segala-galanya. Laut yang membiru menggamit diriku untuk terus berenang!
Setelah beberapa jam di sana, rombonganku pulang dengan penuh kenangan yang sehingga kini sukar untukku lupakan. Gambar-gambar ketika di sana terus kutatap tanpa jemu. Entah bila dapat ke sana lagi. Mungkin kali ini bersama anak-anak yang sudah membesar dan melihat mereka seronok berenang seperti yang pernah kulakukan dahulu. Harap-harap rontaan anak-anakku untuk ke sana akan terlerai. Mungkin kemudian mereka dapat ceritakan pengalaman mereka berenang di Laut Mati. Kawan-kawan mereka mungkin terlopong mendengar semua cerita yang bakal ditokok tambah itu…
Apapun, pedih di kaki sudah tidak dirasai selepas itu. Gatal di kakiku telah sembuh sepenuhnya selepas dua hari. Cuma terlupa hendak bawa balik sebotol dua air Laut Mati untuk mengubati gatal-gatal di badan yang akan datang……..
-KN-
Posted at 06:45 pm by DrPutra
Jun 3, 2004
Salam Perkenalan 2
Setiap sesuatu itu pasti ada mulanya, dan inilah permulaan bagi Y. Memang sukar untuk memulakan coretan ini tetapi semangat dari Wkdin amat membakar. Lebih-lebih lagi bila dia memberitahu ramai doktor yang buta IT.
Weblog ini diterajui oleh Y dan suami, KN. Maklumlah kerja sendiri dan sentiasa bersama setiap hari. Jadi coretan ini boleh di”update” lebih kerap lagi. Y selama ini hanya memerhati dari jauh, maka inilah masanya Y pula mencuba di bidang penulisan. Bak kata setengah orang, menulis itu boleh meransang idea.
Ada banyak lagi pengalaman yang Y boleh kongsikan bersama. Menulis mungkin mudah bagi mereka yang sudah biasa menulis. Y cuba sekadar termampu dalam kesibukan bekerja. Sekurang-kurangnya pengalaman ini sesuatu yang daripada apa yang Y hadapi setiap hari.
Salam perkenalan untuk semua dari Y……..
Posted at 04:56 pm by DrPutra
|
|
 |
|
 |
|